MAJLIS ANUGERAH DAN PENGHARGAAN KOKURIKULUM, SUKAN DAN PERMAINAN TAHUN 2010 & PELANCARAN LETTERHEAD JAWI SMK PERMATANG PASIR

Wednesday, December 8, 2010



Majlis Anugerah dan Penghargaan Kokurikulum, Sukan dan Permainan Tahun 2010 telah diadakan dengan jayanya pada 10hb. November lalu bertempat di Dewan Al Khawarizmi, SMK Permatang Pasir. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah SPT, En. Nazari bin Mohamed. Dalam ucap utama dan perasmian, beliau mengingatkan tentang kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, sukan dan permainan. Guru-guru dan pelajar juga dimaklumkan tentang perkembangan semasa dalam bidang pendidikan di negara ini. Beliau menyeru semua warga sekolah agar sama-sama berganding bahu dalam merealisasikan visi dan misi sekolah dan seterusnya melahirkan pelajar yang berkualiti bukan sahaja di bidang akademik, malah dalam bidang kokurikulum, sukan dan permainan. Melalui bidang kokurikulum , pelajar juga mempunyai peluang untuk menonjolkan bakat dan keistimewaan di pelbagai peringkat seperti daerah, negeri dan kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa. Dalam majlis tersebut, Mohd. Ezzat bin Abdul Rashid telah dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Kokurikulum, manakala Hafizuddin bin Ahmad pula telah dianugerahkan Pelajar Cemerlang Sukan dan Permainan.

Majlis anugerah tersebut dimeriahkan lagi dengan pelancaran Letterhead Jawi SMK Permatang Pasir. Sehubungan dengan pelancaran ini, SMK Permatang Pasir akan menggunakan letterhead Jawi tersebut dalam semua urusan rasmi surat menyurat.